VIRAL KISAH UNTUK KAUT UNTUNG

Kota Kinabalu: Beberapa individu cuba mengaut untung atas angin dengan mengutip sumbangan hasil ‘menjaja’ kisah penderitaan bayi lelaki berusia enam bulan, Muhammad Al-Indra Putra Ebby yang perlu menjalani pemindahan hati di China.

Individu terbabit mengambil kesempatan menjaja kisah Muhammad Al-Indra bagi mendapatkan sumbangan sejak beberapa hari lalu tetapi menggunakan nama dan nombor akaun bank milik individu lain.

Ibu Muhammad Al-Indra, Narizmah Sabran, 27, menyedari perkara itu selepas dimaklumkan sepupunya berkaitan status dimuat naik oleh individu tidak dikenali ke laman sosial Facebook (FB) kelmarin.

“Berdasarkan maklumat yang dikongsi itu, individu berkenaan mendakwa adalah bapa saudara Muhammad Al-Indra dan memohon orang ramai supaya membantu menderma wang bagi menampung kos pembedahan anak di China.

“Malah individu berkenaan juga memohon orang ramai memviralkan maklumat itu dipercayai bagi mendapatkan lebih banyak wang derma,” katanya ketika dihubungi, semalam.