WAD ICU HOSPITAL SULTANAH AMINAH TERBAKAR, 6 MENINGGAL DUNIA
JOHOR BAHRU: Enam pesakit terdiri dari empat
wanita dan dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di
tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi
tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Othman
Abdullah berkata seramai 166 anggota bomba dan 10 jentera dikejarkan ke HSA
sebaik sahaja panggilan diterima pada 8.56 pagi tadi.
"Di ICU itu ada tujuh mangsa yang memang agak kritikal
keadaannya yang difahamkan oleh doktor mereka terpaksa menggunakan bantuan
pernafasan dalam keadaan normal jadi pesakit-pesakit itu tidak boleh
dipindahkan sekiranya tiada katil sekali," katanya.
Othman berkata bagaimanapun kebakaran tidak merebak ke
tempat lain.
Sementara itu Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, ACP
Sulaiman Salleh berkata lima mayat dijumpai kira 11.15 pagi manakala seorang
lagi sejurus kemudian.
Seorang saksi kejadian Habibah Abd Ghani, 37, berkata dia
hanya menyedarinya kebakaran itu sebaik keluar dari bangunan berkenaan.
"Ketika kejadian saya berada di wad tingkat empat
menemani bapa saya yang ditahan dalam wad akibat sakit tulang rusuk.
"Kemudian saya mendengar riuh rendah dan kami yang
berada di situ diminta oleh jururawat supaya keluar dari wad berkenaan. Keadaan
adalah terkawal ketika kami turun menerusi tangga sambil dibantu oleh
kakitangan hospital," katanya kepada pemberita.
Habibah berkata dia kemudiannya melihat ramai pesakit dan
kakitangan hospital berada di sekitar kawasan hospital.
Tinjauan Bernama pada tengah hari tadi mendapati
persekitaran hospital sesak dengan kebanyakan pesakit dan kakitangan
masih berada di luar bangunan hospital.
Dalam pada itu Sulaiman berkata ketika kejadian, 294 pesakit
dan 193 kakitangan HSA dilapor berada di dalam bangunan sama.
Empat mangsa perempuan dan dua lelaki yang maut itu
merupakan antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang lagi
iatu pesakit lelaki berjaya diselamatkan.
"Sementara itu daripada lapan kakitangan yang berada di
wad berkenaan, tiga telah terhidu asap. Jadi kita hantar dua kakitangan
berkenaan ke Hospital Sultan Ismail dan seorang lagi ditahan di sebuah wad di
HSA," kata Sulaiman.
Pesakit lain telah dipindahkan sementara ke wad-wad di
bangunan lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula
berkata pesakit yang terjejas sedang dalam proses dihantar ke hospital lain
berdekatan Johor Bahru terutama Hospital Sultan Ismail.
Status dan maklumat terkini kejadian itu akan dimaklumkan
dari semasa ke semasa, katanya dalam satu kenyataan.
Beliau meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan
menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian itu.