MAUT DIHEMPAP JENTERA PENGGELEK

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas dihempap jentera penggelek di sebuah tapak pembinaan di Jalan Bukit Kokol, Menggatal, di sini, hari ini.
'
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, Davines Lukas, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh badan selepas dihimpit jentera itu seberat kira-kira tiga tan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.58 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi mengeluarkan mangsa.

"Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini membabitkan satu kemalangan apabila sebuah jentera penggelek jalan terbabas lalu terjatuh ke kawasan berbukit berhampiran tapak pembinaan berkenaan sebelum menghempap mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.