KERETA BERTEMBUNG LORI, PELAJAR MAUT

KINABATANGAN – Seorang pelajar maut selepas kereta dipandu bapanya bertembung dengan lori treler di Kilometer 97 Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, mangsa, Nor Fatiha Binti Hapid, 19, berasal dari Tawau meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.


Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi pada 1 NOV 2016,  apabila kereta Proton Saga dinaiki mangsa dari arah Lahad Datu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler.
Menurutnya bapa mangsa, Hapid Lanbau, 50, dan seorang lagi penumpang, Herman Rahimin, 32, mengalami cedera parah.

Pemandu lori treler, lelaki berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan, kata A.Sahak dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, dua mangsa yang cedera parah menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama