FENOMENA KEPALA AIR, DUA LELAKI TERPERANGKAP

KUALA KUBU BHARU: Dua pengunjung Air Terjun Sungai Pertak, di sini, diselamatkan selepas terperangkap di atas batu susulan fenomena kepala air yang berlaku di kawasan air terjun itu, petang tadi. 

Pihak bomba yang menerima laporan kejadian itu pada jam 4.11 petang, menghantar sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu untuk kerja menyelamat. 

Mangsa, Abdul Arif Fikri Ismail, 20 dan Muhamad Shamsuri Samsudin, 40, dipercayai terperangkap di atas bongkah batu di tengah air terjun berkenaan selepas paras air meningkat secara tiba-tiba susulan hujan lebat kira-kira jam 3 petang. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, berkata anggota bomba diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie menggunakan tali menyelamat bagi membantu kedua-dua mangsa menyeberangi air deras. 

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menyelamatkan mereka. Mangsa dipakaikan jaket keselamatan seterusnya merentangkan tali menyelamat bagi membolehkan mangsa berpaut sebelum ditarik ke tebing. Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami apa-apa kecederaan. Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 5.45 petang," katanya.